Sedikit perkongsian pada pagi ini mengenai hutang.
Saya banyak dapat info dari pembacaan di http://www.islam.gov.my/muamalat/artikel/bahaya-hutang-tapi-anda-tidak-menyedarinya
Semoga kita dapat membaca bersama-sama dan elakkan diri dari terjebak daripada hutang.
Di bawah ini intipati atau kandungan dari laman web tersebut.
Bahaya hutang, tapi anda tidak menyedarinya…!
By: Abdul Muhaimin Mahmood
Mutakhir ini kita dapat melihat betapa masyarakat kita sangat ghairah
berhutang dalam mendapatkan barang keperluan dan perkara yang mereka
hajati.
Berhutang pada setengah orang telah menjadi satu budaya yang dianggap
sihat khususnya dalam menunjukkan kemewahan dan bermegah-megah dengan
harta dan barangan yang mereka miliki.
Musim perayaan, cuti persekolahan dan hujung tahun sebelum sesi
persekolahan baru bermula, makin banyak hutang dibuat kerana mahu
menampakkan kemewahan dengan mendapatkan semua yang baru, meskipun yang
lama masih elok dan barangkali hanya baru dipakai sekali dua sahaja.
Istilah biar papa asal bergaya nampaknya makin menular dalam masyarakat
dewasa ini.
Perasan atau tidak, hakikatnya masyarakat kita kini telah terperangkap
dalam fenomena suka berhutang yang kurang sihat, tetapi dianggap
sebagai sihat oleh mereka.
Amat pilu dan menyedihkan lagi, yang terlibat dalam fenomena ini juga
adalah orang melayu yang Islam merupakan akidah dan pegangan mereka.
Hari demi hari keadaan ini makin memilukan apabila aktiviti berhutang
telah menjadi asas kepada kehidupan masyarakat dewasa ini.
Tidak dinafikan berhutang adalah diharuskan dalam Islam bagi mereka
yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama perlu
juga kita tahu bahawa Islam sesekali tidak menggalakkan berhutang
dijadikan sebagai cara untuk bermewah-mewah, bermegah-megah dan dibuat
dengan berleluasa tanpa keperluan dan asas yang kukuh.
Lebih memilukan lagi terdapat sesetengah orang yang beranggapan hutang
merupakan mekanisma, kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa)
bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat
atau individu.
Kesannya makin ramai individu yang berkemampuan membuat pembelian dan
transaksi secara tunai telah memilih untuk berhutang dalam mendapatkan
apa yang mereka iginkan seperti membeli rumah, kereta, perabut dan
sebagainya. Alasan mereka, jika perbelian dibuat secara tunai maka
mereka akan rugi.
Statistik hutang dan muflis
Statisti hutang yang dilaporkan melalui dada-dada akhbar dari
badan-badan yang berautoriti dalam negara, cukup menunjukkan kita betapa
hutang sudah menjadi darah daging yang seakan tidak dapat dipisahkan
dari masyarakat dewasa ini.
Kesannya banyak telah muflis disebabkan hutang. Suka saya petik
beberapa keratan akhbar yang menjelaskan tentang fenomena yang kurang
sihat ini:
1. …1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus
daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan
pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di
antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat
pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit
dan penggunaan kad kredit.
Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat
awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana
mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik
mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan
muda yang muflis. Petikan Utusan Online, 21/03/2011 bertajuk “Senarai hutang menanti pada usia muda”.
2. ...Ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu
masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada
kebankrapan.Pada 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan
seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus
daripadanya adalah lelaki. Petikan Utusan Online, bertarikh 03/03/2011.
3. Menurut Pengurus Besar AKPK [Azman Hasim] sejak 2007 hingga 28
Februari lalu, 144,720 individu menanggung hutang di seluruh negara
mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan agensi itu termasuk 55,225
orang mengikuti Program Pengurusan Kredit.
Menurutnya, individu paling banyak menghadapi hutang adalah
golongan berusia antara 30 hingga 40 tahun, berkahwin dan gaji tahunan
kurang RM24,000.
Menurut Datuk Omar Osman Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.
Semua ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya budaya
berhutang dalam masyarakat dewasa ini, lebih-lebih lagi bagi penjawat
awam yang lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman dari pelbagai institusi
kewangan.
Hutang penyumbang bahana dunia dan akhirat
Semakin banyak transaksi berteraskan hutang bermakna makin
berkembanglah amalan riba, pecah amanah, rasuah, penyeliwengan,
penipuan, pemerasan dan ugutan, pembunuhan, makin kurang produktiviti
kerja, keruntuhan rumah tangga meningkat dan sebagainya lagi.
Ini kerana penyakit suka berhutang merupakan antara faktor dan penyumbang kepada masalah tersebut.
Tamakkan harta dan cintakan dunia telah melupakan manusia pada
akhirat. Kecintaan mereka pada dunia melupakan pada kesan buruk dari
perbuatan tersebut.
Mereka lupa pada sabda Rasulullah SAW: “Diampunkan semua dosa bagi
orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang
(kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38).
Mereka lupa yang Rasulullah sentiasa mohon dilepaskan dari belenggu hutang.
Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda kerap mengajar umat Islam
supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung
kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa
engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia
dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214).
Tidak kurang banyak juga berlaku dewasa ini, individu yang suka
berhutang atau meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.
Mereka ini lupa pada sabda nabi SAW “Barang siapa meminjam harta
orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan
pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin
merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83).
Budaya suka meminjam juga boleh menyebabkan seseorang individu menjadi
muflis diakhirat nanti. Sekiranya mereka tidak dapat melunaskan hutang
mereka didunia, mereka akan dituntut membayarnya di akhirat.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ.Maksudnya:Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW, bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis? " Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda;" Nabi SAW., bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka.
Kesimpulan
Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang
memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara dan
wasilah untuk bermewah dan bermegah-megah atau dibuat dengan berleluasa
tanpa keperluan dan asas yang kukuh.
Cintakan dunia, tamak, riya’, takabbur, hasad, suka menunjuk-nunjuk
dan tidak bersyukur dengan apa yang ada antara faktor penyumbang kepada
tabiat suka berhutang yang membawa kepada kesengsaraan di dunia dan
akhirat. Bagi mengatasi sikap suka berhutang, faktor-faktor yang
menjurus kepadanya hendaklah diatasi dan diperangi dengan gigih dan
tabah.
Seorang yang soleh merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada
hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Saya telah merenung dan
memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri
manusia. Ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui sepuluh pintu
iaitu:
- Tamak dan buruk sangka. Maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
- Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
- Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
- Kagum terhadap diri sendiri ('ujub) lantas saya menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yang buruk.
- Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
- Hasad (dengki) lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qana `ah) dan redha terhadap kuniaan Allah SWT kepada makhlukNya.
- Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu saya menghadapinya dengan ikhlas.
- Bakhil (kedekut), lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pads makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di nisi Allah SWT.
- Takabbur (membesar diri), lalu saya menghadapinya dengan rasa tawadhu'.
- Tamak haloba, lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah SWT dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia. (Fathi Yakan, Maza yakni i'timai bi al-Islam. Lihat juga: Zulkifli Bin Mohammad al-Bakri, Integriti dalam Islam, Universiti Sains Islam Malaysia:Nilai, 2007, hlm.91-92.
Saya sendiri yang sedang menjalankan perniagaan seboleh mungkin cuba untuk menggelakkan transaksi hutang, semua urusniaga yang nak dilakukan adalah lebih baik secara tunai.
Ini target saya bermula September 2013, semoga Allah membantu dalam hal ini.
Sekian
No comments:
Post a Comment