Semua sihat sihat saja kan, saya tengah selsema teruk, hidung tersumbat dan berair, dah 2 hari begini. Penangan balik dari kampung, penat sangat mengerjakan kerja-kerja kenduri kahwin.
Jika makan secara hidang dulang lagi penat sebenarnya dengan pinggan yang perlu dibasuh. Kami dah kurangkan kerja-kerja tersebut dengan menggunakan pinggan polistrene pakai buang dan makan hidang secara ambil sendiri (layan diri).
Mana tak penat, saya bertolak dari sini ke kampung pada petang Khamis, sampai rumah ayah mertua di Machang dah jam 12 malam, tumpang bermalam dulu dan seusai subuh, kami gerak balik ke Kota Bharu. Sampai saja dah angkat barang-barang keluar kereta dan temankan mak ke bandar Kota Bharu untuk beli sayur-sayur bagi persiapan memasak untuk esok. banyak barang-barang yang perlu dibeli, seperti 10kg labu, labu ini mak buat sebagai desert, labu sira, beli sayur-sayur, timun batang untuk acar nanti, buah-buahan untuk diletak pada hantaran.
Balik saja dari pasar, ada masa rehat seketika dan lepas itu, kerja-kerja membasuh ayam berkilo-kilo sehingga bersih. Nasib baik mak beli ayam yang dah siap potong, tunggu nak basuh bersih-bersih, buang bulu yang mana ada dan buang lemak yang ada.
Lenguh juga lah pinggannya, masa ini saya buat dengan Mak Ngah dan Mak teh saya, kemudian bersambung trip kedua dengan Maksu dan adik No 2 saya. Adik No 2 saya ini baru sahaja lepas berpantang, bayi nya baru berumur 2 bulan.
Kemudian, labu-labu yang dah siap dikupas oleh adik saya, saya potong dan bersihkan untuk dimasak sira nanti.
Cerita malamnya, banyak masa digunakan untuk mengemas rumah, pasang langsir, gosok baju baju yang akan dpakai esok hari. Malam ini juga ada sesi berinai untuk Pengantin dan saudara serta kawan-kawan adik yang sama-sama nak berinai dan ukir tangan mereka dengan inai. Bab ini saya tak join sebab tak berapa minat, rasa comot saja tangan berukir begitu.
Tiba esok pagi, seawal subuh Maksu saya dah bertugas memotong sayur timun, lobak merah dan kubis untuk dibuat acar. Saya menolong apa yang patut saja. Ada juga ikan kering yang perlu dipotong kepala buang dan dipotong dua badannya. Ini yang paling seronok sebab ia yang habis dulu.
Antara lauk yang kami masak dan hidangkan pada tamu adalah daging gulai ala kawah, mak masak sendiri, sedap sangat sangat, antara lauk yang habis dulu tetapi masih mencukupi untuk semua tetamu dan ada tinggal baki juga untuk kami makan. Sebenarnya daging tersebut dipotong oleh adik lelaki saya, adik ipar, sepupu yang juga jadi pengapit dan Pakngah saya, saya panggil Che Ngoh.
Lauk lain adalah ayam goreng masak merah, lauk kesukaan kami, dan juga menantu mak yang baru, lauk mesti ada ayam, minat sesangat dengan ayam. Nanti dia, nanti akan diajar makan ikan sesaja tanpa ayam. Ikan rebus cicah budu tau la macam mana rasa.
Sekian dulu cerita kerja kahwin adik bongsu perempuan saya yang kahwin. nanti ada masa lain saya ceritakan pula Majlis nya.
No comments:
Post a Comment